Sunday, February 8, 2009

islam yang syumul











Sebelum berhijrah ke dunia Syariah untuk mengamalkan Islam secara Syumul(keseluruhan), saya terlibat didalam perbankan secara konvensional selama belasan tahun. Lama hati ini memberontak untuk keluar dari bergelumang dengan najis Riba yang mana dosanya seperti yang telah di ketahui adalah sangat besar tapi segala usaha memohon kerja untuk berhijrah ke sistem secara Islam gagal tanpa diberitahu apakah kekurangan pada diri ini. Padahal bank yang saya masih bertugas ketika itu meletakkan kepercayaan yang tinggi pada diri ini hinggakan di naikkan pangkat demi pangkat hingga ke Pengurus Cawangan di salah sebuah ibu negeri di pantai timur. Banyak kali permohonan yang dibuat tidak dipanggil langsung temuduga. Kecewa rasanya. Memang tidak ada niat langsung untuk keluar dari industri perbankan kerana takut segala ilmu yang telah di perolehi tersia-sia begitu sahaja bila tidak di praktikkan. Tapi apakan daya takdir telah menentukan saya akan keluar juga dari industri perbankan (konvensional) ketika itu dan beralih ke industri pelaburan secara Syariah.Mudah mudahan itulah caranya Allah ingin menyelamatkan saya dari berterusan dengan dosa Riba. Allah telah menggerakkan hati ini bertukar ke dunia pasaran saham secara syariah. Alhamdulillah, walaupun pada awalnya agak tergugat juga iman ini kerana selama 6 bulan pertama tidak ada pendapatan langsung yang masuk. Sebelum masuk ke dunia saham, ada juga kawan-kawan yang berjanji untuk menyokong memberi sedikit ‘business’ tapi harapan tinggal harapan saja. Rupanya orang yang tidak dijangka yang telah menyokong untuk saya terus kekal dalam industri ini. Banyak juga cabaran dan dugaan bila mahu mencari yang berkat. Seperti biasa bagi ‘business’ yang baru, komisen yang masuk pada awalnya memanglah sedikit. Tapi lama kelamaan hasilnya cukup lumayan. Susah juga bila Allah uji dengan kemewahan. Iman sekali lagi tergugat.Kali ini di uji dengan kemewahan pula. Mudah lupa diri.Banyak pembaziran.Tidak sedar hati dan mulut selalu riak dan meninggi diri. Surau pun sudah tidak di endahkan lagi. Seolah olah sudah hilang pergantungan dengan kuasa yang memberi rezeki. Allah maha berkuasa. Sekelip mata saja Allah tarik balik rezeki yang telah diberikan. Bila berlaku pemecatan Mufti Selangor dalam tahun 1997, Allah telah menurunkan Balanya dengan menimbulkan krisis kewangan dan di ikuti dengan pemecatan Anwar Ibrahim dalam tahun 1998 dan terus berlakulah krisis keyakinan terhadap pasaran saham kita. Banyak harga-harga saham seperti sudah tidak ada nilainya lagi. Habislah segala saham yang telah dikumpulkan melalui komisen yang diperolehi sebelum ini. Panik juga di buatnya sebab beratus ribu hilang sekelip mata. Barulah sedar seolah-olah terjaga dari mimpi yang ngeri. Hati mula berkata apakah salahku ya Allah. Rupanya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mulalah dengan bermuhasabah diri. Cari kesilapan dan cuba koreksi diri. Alhamdulillah, nasib baik tidak semua wang yang terkorban dalam pasaran saham. Berkat memenuhi hajat ibu dan ayah untuk memperbaiki rumah, mereka telah menukarkan nama mereka kepada nama saya bagi geran tanah mereka. Ada juga nilainya sekiranya dijual kelak. Kalaulah dibelikan saham dulu, mungkin habis tidak bernilai lagi. Allah masih sayangkanku lagi. Dalam keadaan yang sulit, ramai Remisier yang terpaksa ‘gulung tikar’.Ramai yang mengeluh komisen sangat kurang.Tapi Allah telah menggerakkan hati beberapa pelangganku yang tegar dalam pasaran saham. Alhamdulillah, dapatlah aku mengumpul semula komisen untuk aku jelaskan hutang sebuah kereta dan selepas itu rumah pula. Tapi akhir-akhir ini setelah berlakunya berbagai kegawatan ekonomi dalaman dan juga secara global, pasaran saham yang terus tidak bermaya telah menyebabkan ramai pelangganku dinasihatkan menjauhkan diri dari pasaran saham. Aku terpaksa bertindak ikhlas kerana tidak mahu mereka berterusan rugi. Tindakan begitu telah menyebabkan aku hilang ‘business’ kini hampir setahun dan ini telah menyebabkan aku bertukar kepada industri baru iaitu Perancangan dan Pewarisan Harta yang berkonsepkan Syariah. Sapertimana payahnya Takaful ketika mula mula diperkenalkan dulu, begitu jugalah industri baru yang penting ini. Ramai yang akui perkhidmatannya bagus tapi respon masyarakat masih lembab seolah-olah ianya tidak penting. Banyak usaha dan strategi yang perlu ditingkatkan untuk terus menyedarkan masyarakat di sertai dengan kesabaran yang tinggi di dalam memberikan penerangan demi penerangan tanpa rasa jemu dengan meletakkan niat untuk menunaikan tuntutan fardhu kifayah di hadapan. Kalau nak di ikutkan hati sudah lama ditinggalkan kerja yang mencabar ini. Lagipun imbuhannya kadang-kadang tidak berbaloi dibandingkan dengan masa dan kos yang perlu dikeluarkan. Bila di renungkan kembali seolah-olah Allah telah menggerakkan hati ini supaya terus memperjuangkan industri ini kerana ia ada kaitan dengan Ilmu Faraidh yang mana Nabi pernah bersabda yang ilmu ini akan mula-mula dicabut dari umat ku.Ilmu Faraidh adalah kunci kepada Perancangan Harta. Walaupun perjuangan ini tidak semudah yang disangkakan, saya sentiasa berdoa agar Allah akan membukakan laluan yang mudah untuk masyarakat menerimanya suatu hari nanti. Paling tidak aku telah menjalankan tuntutan fardhu kifayah. Di dalam kepayahan mencari rezeki masa ini, timbul pula isu boikot barangan Yahudi dan masalah halal haram dalam produk makanan dan produk harian. Maka seterusnya Allah telah menggerakkan hati ini untuk memperjuangkan barangan yang halal lagi suci ini. Setelah dibuat analisa, maka Syarikat HPA lah yang dirasakan paling Islamik yang hampir kepada tuntutan syara’. Saya telah berazam dengan keluarga untuk menukarkan segala produk harian dan makanan di rumah kepada yang sah halalnya atau yang bukan buatan Yahudi sahaja sekiranya ada alternatif. Mudah mudahan niat suci untuk mengajak umat Islam beramal dengan Islam yang syumul akan tercapai. Insya Allah pahala dapat dan rezekipun dapat. Harapanku agar umat Islam bersangka baik dengan sesiapa juga yang cuba memperjuangkan sesuatu yang dituntut oleh agama. Janganlah cepat bersangka buruk. Kalau tidak ada yang mengusahakannya, adakah kita mahu orang kafir yang menjual barangan Islam kepada kita. Sudah tentu kita tak mahu itu terjadi. Oleh itu, kikiskanlah sifat mazmumah dari hati kita semoga bisikan-bisikan syaitan akan dapat kita atasi dan terus memperkukuhkan ekonomi umat Islam. Selain daripada apa yang telah diperkatakan, saya telah awal-awal lagi tukar akaun bank saya kepada sistem Syariah. Begitu juga dengan Takaful untuk kereta dan rumah. Alhamdulillah, apa yang diperjuangkan di fahami oleh anak-anak yang telah dibekalkan dengan sedikit pendidikan Islam ketika di bangku sekolah lagi. Mengenai pendidikan pula, pada awalnya saya sangat khuatir untuk hantar ke sekolah agama rakyat kerana khuatir mereka tak mampu belajar dengan matapelajaran yang sangat banyak. Tapi alhamdulillah semuanya berjaya juga ke pusat pengajian tinggi. Yang sulong, baru saja tamat dari Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang Syariah. Yang kedua di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dalam bidang perubatan moden dan akan dibekalkan juga dengan perubatan Islam dan yang bongsu baru sahaja dalam semester 1 di Universiti Darul Iman, Terengganu dalam bidang Syariah. Mudah mudahan apa yang di cita citakan tercapai semoga Allah meredhai apa jua gerak hati dan langkah seterusnya. Syukran Jazilan kerana memberikan sedikit masa untuk membaca dan memahami perjuangan ini. Sekian, wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment